ALOR SETAR – Cubaan lelaki tempatan menghantar tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke Thailand gagal selepas mereka ditahan pasukan Angkatan Tentera Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemuanya ditahan ketika melintasi sempadan menggunakan laluan tidak sah di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
“Penahanan membabitkan empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 47 tahun itu dibuat pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan Malaysia-Thailand pukul 1 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan ke atas MPV itu membawa kepada penemuan tiga lelaki Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
“Hasil soal siasat awal mendapati seorang lelaki tempatan yang juga pemandu kenderaan tersebut dalam perjalanan menyeludup keluar warga Myanmar itu ke Thailand,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, dalam serbuan tersebut, pasukan turut merampas tiga telefon bimbit dan wang tunai mata wang Malaysia dan Myanmar serta kenderaan yang digunakan dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM72,987.85.
“Kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette