Julie Sudiro.

KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, yang dirawat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor sejak 9 Januari lalu, meninggal dunia pukul 9.30 malam tadi.

Berita duka itu dimaklumkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.

“Hari ini saya betul-betul sedih menerima berita kehilangannya, Secara peribadinya, beliau bagaikan kakak saya dan sering membimbing kami warga Karyawan di dalam pelbagai perkara.

“Lebih 15 tahun beliau menjadi ahli jawatankuasa dan setiausaha kehormat kami. Ini kehilangan yang amat besar juga buat industri seni tanahair,” katanya dalam satu kenyataan.

Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro dilahirkan pada 26 Februari 1945 merupakan antara penghibur tanahair prolifik yang memulakan kerjaya seni sejak awal remaja.

Allahyarham telah merakamkan pelbagai lagu dalam bahasa Inggeris dan Melayu serta pernah mengadakan persembahan di beberapa benua dunia dengan kumpulannya, The Emeralds

Julie menempa nama yang ekslusif di dalam industri tempatan dan dianggap sebagai diva  nuansa muzik keroncong dan jazz yang bukan sahaja dikenali di Malaysia dan Singapura malah di peringkat antarabangsa.

Beberapa tahun kebelakangan ini beliau sangat aktif mengadakan pelbagai kelas al-Quran bagi mengisi masa disamping adakalanya menerima jemputan mengadakan persembahan.

Jenazah  dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini. – MalaysiaGazette