Seorang pelajar tingkatan tiga maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bemban -Jasin di Melaka tengah malam tadi.

JASIN – Seorang pelajar tingkatan tiga maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bemban – Jasin di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam itu, Raja Zuhairi Najmi Raja Din, 16, yang menunggang motosikal  Honda Wave meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, rakan mangsa, Muhammad Adam Shaiful Amran, 16, yang menunggang Honda EX5 dan cedera ringan.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa, Jasin dalam perjalanan dari arah Jasin ke Bemban.

“Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipandu warga emas berusia 72 tahun dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum memasuki laluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini

Tambahnya, kedua-dua remaja lelaki gagal mengelak menyebabkan mereka bertembung kereta dipandu pekebun itu.

Mayat mangsa maut dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette