Pemilik warung Salai D’Cerok melayan pelanggannya di gerai miliknya dekat Plentong hari ini.

JOHOR BAHRU – Pengusaha gerai makan di negeri ini tidak menolak dasar kerajaan mewujudkan Menu Rahmah  sebagai langkah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat masa kini.

Bagaimanapun rata-rata mereka belum lagi bersedia untuk memperkenalkan Menu Rahmah di­sebabkan kos kenaikan harga barangan mentah.

Namun bagi pemilik warung Salai D’Cerok, Idayu Othman, 45, yang baru setahun jagung mengusahakan perniagaan berpandangan, ada beberapa perkara yang perlu diambilkira terutama melibatkan kos bahan mentah.

Jelasnya, kerajaan juga mungkin boleh menetapkan menu-menu khas untuk program itu dan memberi subsidi kepada peniaga.

“Perkara sebegini (subsidi) perlu difikirkan, jadi kedua-duanya boleh menerima manfaat agar peniaga tidak menanggung kerugian bagi menjamin kelancaran program berkenaan.

“Selain itu, satu sistem yang selaras juga perlu diwujudkan antara pihak keraajaan, peniaga dan pihak yang layak menerima bantuan program tersebut sama ada dari segi kod imbasan mahu pun manual kupon,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan pemilik makanan barat di Bandar Dato Onn, Suhana Mohd Esa, 48, yang menyambut baik  hidangan mampu milik itu mula diperkenalkan kerajaan pada Selasa lalu.

Menurutnya, walaupun keuntungan yang diperoleh sedikit namun ia dianggap sebagai satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

Namun pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memikirkan nasib peniaga supaya mampu mengekalkan perniagaan mereka.

“Macam kami, kami hanya tetapkan satu Menu Rahmah sahaja iaitu chicken chop RM5. Kalau kita sudah biasa buat masakan panas dengan keadaan sekarang barang mahal tak ada untung, jika RM100 kita beli barang sehari.

“Menu Rahmah ini adalah sikit untung, sebab kita tidak beli barang banyak. Cuma kuantiti kita beri juga perlu sesuai dengan harga.

”Jadi kakak rasa kerajaan seeoloknya beri kami peniaga-peniaga ini subsidi. Maksudnya menang-memang. Pelanggan terima manfaat, kami peniaga juga ada manfaat,” katanya.

Seorang lagi peniaga gerai makan. Muhammad Akmal Yusof, 24, pula berpendapar, niat berkongsi rezeki antara faktor utama beliau memilih untuk turut serta menyediakan Menu Rahmah di gerai miliknya.

Walaupun mengakui harga barang keperluan semakin mahal, beliau bertekad meneruskan menu berkenaan untuk membantu pelanggan.

“Sekarang ini, barang memang terlalu mahal dan saya diberitahu oleh pembekal harga varang-barang akan naik lagi lada bulan Mac ini.

“Jadi selayaknya kerajaan dengar pula isi hati kami sebagai peniaga. Baru kedua-duanya menerima manfaat kerana kami peniaga juga adalah rakyat,” ujarnya.

Akmal kini berusaha menyediakan set Menu Rahmah yang sesuai terutama melibatkan penuntut di institusi pengajian tinggi  berhampiran lokasinya berniaga.

Begitu juga dengan pemilik makanan panas, Azizan Inche Harun, 40 yang mahu harga bahan mentah diturunkan terlebih dahulu.

Jika ini diberi perhatian, beliau yakin ramai peniaga terbuka hati untuk menyoking program kerajaan.

“Menu Rahmah adalah hidangan makanan pada harga RM5 ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar yang merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur.

“Di Pulau Pinang, peniaga makanan di negeri itu dikatakan belum lagi bersedia untuk memperkenalkan Menu Rahmah di­sebabkan kos kenaikan harga barangan mentah. Jadi secara jujur saya masih belum bersedia ke arah itu.

“Tetapi sekiranya suara saya sebagai peniaga didengari kerajaan yang mana kebanyakan kami inginkan subsidi bahan mentah, mungkin waktu itu saya boleh fikirkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Menteri kena faham konsep economies of scale, syarikat2 besar bolehlah buat program rahmah. Syarikat kecil, peniaga gerai kecil2an, tepi jalan silap haribulan terus bungkus, kah..kah..kah..

Comments are closed.