KUALA LUMPUR – Anak-anak Raja Pop Jamal Abdillah iaitu Zaki Yamani dan Yamani Abdillah membuat kejutan apabila muncul juara Famili Duo pada pertandingan akhir yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan tersebut melayakkan dua beradik itu membawa pulang ganjaran lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.
Zaki dan abangnya menyampaikan medley Potret dan Pelukan Angkasa untuk segmen pertama, disusuli medley lagu Hutang, Bunga dan Kau Pun Sama bagi segmen kedua.
Pasangan duo sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel tidak berputih mata apabila tetap layak di tempat keempat dengan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Terdahulu, tujuh pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu, namun tiga daripada duo terbabit tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Berkonsepkan kalah mati bersaing hingga minggu ketujuh, peserta yang terpaksa akur meninggalkan pentas ialah Ara Johari dan sepupunya, Shaffiq Erwin, Sabhi Saddi dan Fareed PF K-Clique (adik-beradik) serta Siti Sairah dan Siti Saida (adik-beradik).
Persaingan Famili Duo musim yang bermula pada 18 Disember tahun lalu menyaksikan Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Sean Lee bertindak selaku hos. – MalaysiaGazette