Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menghargai Majlis Gereja Malaysia (CCM) yang mengalu-alukan fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melarang umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri berkenaan.

Sikap prihatin dan bertolak ansur seperti ini dilihat pasti akan menyuburkan keharmonian dan hubungan sesama kaum di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

“YADIM berpandangan ia bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung CCM, Jonathan Jesudas pada 5 Februari lalu yang menyatakan fatwa oleh MAINJ adalah panduan yang baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk orang bukan Islam bagi lebih memahami had yang ditetapkan oleh undang-undang Islam adalah sesuatu yang sangat baik dan wajar dipuji.

Justeru menurut Tuan Kamarul Arief, sebagai sebuah agensi dakwah di negara ini, YADIM sentiasa komited untuk menganjurkan dialog silang budaya dengan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini bagi mengangkat agenda “taaruf” yang akan menghilangkan salah faham dan mempromosikan keharmonian antara agama, bangsa dan budaya.

Buktinya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, YADIM komited untuk meraikannya di seluruh negara dengan pengisian ilmu, kebudayaan dan kebajikan.

YADIM yakin dengan wujudnya organisasi yang matang dan rasional seperti CCM, budaya dialog dan program keharmonian akan semakin subur di Malaysia dan YADIM pasti akan mempergiat lagi usaha kearah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast