foto media sosial

KUANTAN – Beberapa kawasan di daerah ini mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.

Bermula jam 8 pagi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan memaklumkan pemantauan telah dilakukan di sekitar Kampung Jawa, Medan Warisan dan Cenderawasih.

Menurut APM Kuantan, paras air di kawasan berisiko banjir terbabit masih dalam keadaan terkawal di mana air hampir memenuhi longkang dan tiada kenaikan air di kawasan penempatan.

Bagaimanapun, agensi berkaitan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekrianya terdapat keperluan bagi pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir, terutamanya di sekitar Sungai Lembing.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna di media sosial turut memaklumkan air mula naik melimpahi jalan raya di kawasan kerap berlaku banjir seperti di Tanah Putih, Jalan Kuantan – Gambang Batu 10, Sri Damai, simpang Widad dan Sungai Lembing.

APM Kuantan melaporkan tiga sungai di daerah ini berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lembing, Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, manakala paras air di Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dalam paras berjaga-jaga.

Hujan lebat sejak semalam turut menjejaskan beberapa kawasan di Chenor, Pekan, Jengka dan Jerantut sehingga pagi ini. – MalaysiaGazette