Kredit: Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Selatan Turkiye.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) , Datuk Armizan Ali berkata, proses penghantaran pasukan SMART dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turkiye.

“Sehubungan itu, seramai 75 orang anggota akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan- peralatan yang akan digunakan di dalam operasi SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armizan,  Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 7 kilometer, diikuti dengan dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep, masing-masing berukuran 6.4 dan 6.5 pada skala Richter.

Negara jiran Syria turut terjejas dengan 237 orang dilaporkan maut manakala sekurang-kurangnya 639 cedera akibat gegaran kuat melanda wilayah Idlib, Aleppo, Hama, Latakia, dan Raqqa.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi di Turkiye setakat ini