rahmah
Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menetapkan harga makanan melalui Menu Rahmah dikatakan tidak selaras dengan usaha mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran.

Pakar ekonomi, Prof. Tan Sri. Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, walaupun niat kerajaan itu baik namun ia tidak tepat daripada segi ekonomi dan tidak dianggap sebagai jalan penyelesaian.

Menurut beliau, menu tersebut mungkin dapat mengurangkan beban yang ditanggung pengguna namun langkah itu lebih bersifat emosional dan bukannya ekonomi.

“Murah tidak semestinya bagus. Ada had terhadap penetapan harga. Tindakan kerajaan bekerjasama dengan persatuan-persatuan pembekal (hakikatnya ‘berpakat’) untuk menetapkan harga adalah secara terang-terangan tidak selaras dengan usaha mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran.

“Saya harap isu-isu yang lebih besar tidak diabaikan. Pertumbuhan ekonomi. Mewujudkan pekerjaan. Peluang untuk semua. Gaji yang adil. Pasaran yang cekap. Persaingan. Harga yang adil. Keupayaan. Produktiviti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 disambut baik oleh orang ramai terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Walaupun sebahagian peniaga makanan bersetuju menyediakan menu tersebut, ramai yang menggesa kerajaan bersikap tegas bagi memastikan harga bahan mentah dapat diturunkan terlebih dahulu.

Noor Azlan memberitahu, kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah membantu golongan yang memerlukan dan bukannya campur tangan dalam pasaran terbuka.

“Usaha meningkatkan pendapatan seharusnya diutamakan. Kerajaan teruskan usaha membantu rakyat. Kita hargai,” kata bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast