Khaled Afghanistan
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat melihat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi peneraju dalam perkara melibatkan transformasi pendigitan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai universiti berasaskan teknologi, beliau percaya UTM boleh berperanan penting meningkatkan kebolehsaingan serta melonjakkan pembangunan ekonomi negara dalam bidang berasaskan inovasi.

Ini, katanya, selari dengan misi UTM itu sendiri untuk menjadi sebuah universiti yang menginovasi penyelesaian.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, hasil penyelidikannya dapat membantu penambahbaikan kurikulum pendidikan tinggi, membantu negara dalam penetapan dasar dan polisi, menjadi asas kepada perbincangan masyarakat serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Saya percaya, UTM mempunyai kekuatan tersendiri dalam kerjasama melibatkan industri dan berupaya menarik lebih ramai pelajar antarabangsa di Malaysia melalui kualiti pendidikan yang ditawarkan.

“Pada masa sama, UTM perlu meningkatkan keterlihatan dan sumbangannya serta meluaskan rangkaian antara universiti dan industri berasaskan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke UTM hari ini, iaitu lawatan kerja ke universiti awam kelima selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mohamed Khaled mengucapkan tahniah atas kejayaan UTM mencapai peratusan kebolehpasaran graduan yang tertinggi di Malaysia sebanyak 97.9 peratus dan peratusan graduan yang memperoleh gaji premium (melebihi RM4,000) sebanyak 31 peratus pada 2022.

Bagi pihak KPT, beliau memberikan sokongan penuh kepada UTM untuk terus melahirkan graduan yang diperlukan negara dan meningkatkan keberhasilan penyelidikan.

“Saya menaruh harapan besar untuk UTM menjadi lebih cemerlang agar imej pendidikan tinggi negara dapat dilonjakkan,” katanya. – MalaysiaGazette