risda holdings
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid diiringi ketua setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun (tengah) melawat ruang pameran Risda ketika menghadiri ke Taklimat Pembangunan Risda di Ibu Pejabat Risda, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Anak-anak syarikat RISDA Holdings akan distruktur semula sebagai langkah transformasi yang bertujuan mengurangkan kos operasi serta memperkasakan lagi usaha membantu pekebun kecil di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah terbaik bagi melaksanakan penstrukturan semula adalah dengan memberi peluang pegawai dan kakitangan syarikat-syarikat terbabit untuk menguruskan sendiri melalui pembelian pengurusan (management buyout).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, langkah itu secara tidak langsung berupaya mewujudkan usahawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan anak-anak syarikat RISDA Holdings.

“Yang penting bukan banyaknya syarikat tetapi syarikat-syarikat itu mesti melaksanakan hanya perniagaan teras industri getah atau pun perkara-perkara yang boleh memberi sumbangan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“(Selain) bajet daripada kerajaan dapat dikurangkan, keuntungan daripada urus niaga RISDA Holdings dan anak-anak syarikatnya dapat membantu RISDA membantu pekebun-pekebun kecil dan penoreh-penoreh getah yang tidak mempunyai tanah, jadi inilah transformasi yang mahu kita lihat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi Taklimat Program Pembangunan RISDA di Bangunan RISDA di sini, hari ini.

Beliau menambah, kerajaan juga tidak menghalang sekiranya anak-anak syarikat RISDA Holdings mahu bekerjasama dengan pelabur dari luar dalam proses penstrukturan semula itu.

Ahmad Zahid turut menyifatkan sasaran RISDA untuk memastikan pendapatan pekebun kecil getah ditingkatkan sehingga lebih RM4,500 bagi setiap isi rumah sebagai matlamat yang baik.

Pada masa yang sama, beliau berpandangan, RISDA harus melihat beberapa aspek lain termasuk mengeluarkan pekebun-pekebun kecil dari kepompong kemiskinan.

“Untuk mencapai ke arah itu pelbagai transformasi harus dilakukan bukan hanya dalam soal ekonomi tetapi bagaimana sahsiah mereka supaya terdapat perimbangan antara pemodenan keapda produktiviti bukan hanya setakat penorehan tetapi mereka harus turut diterlibatkan terutamanya dalam aktiviti-aktiviti hiliran dan huluan,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, RISDA perlu juga melihat aspek kebajikan penoreh getah yang tidak memiliki tanah kerana ramai dalam kalangan mereka berada dalam kategori miskin tegar.

“Perkara-perkara beginilah dalam 50 tahun RISDA ditubuhkan tetapi kita masih lagi bersusah payah untuk mengeluarkan mereka dari kemelut yang begitu,” katanya.

Beliau turut meminta RISDA melihat aspek-aspek baharu untuk memastikan getah terus menjadi bahan mentah untuk industri yang berkaitan, sekali gus menangani kesan yang timbul akibat persaingan dengan getah tiruan.

“Kita harus melihat bahawa getah bukan satu komoditi untuk industri yang hampir tenggelam tetapu bagaimana kita mahu melakukan transformasi agar bahan getah asli ini menjadi bahan untuk industri yang sedang berkembang,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, RISDA menerusi kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melihat bagaimana kayu getah dapat dijadikan sebagai bahan mentah untuk pembuatan perabot dengan nilai komersial yang tinggi bagi pasaran di dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette