UMUM mengetahui bahawa projek pemindahan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan sedang rancak dilakukan oleh pemerintah Republik Indonesia. Pujian perlu diberikan kepada Presiden Jokowi kerana visi dan misi yang tuntas di dalam membangunkan negaranya. Walaupun Indonesia bakal mengadakan Pemilihan Umum Presiden, namun pelan pembangunan Kalimantan sudah pasti akan terus berjalan seperti yang telah dirancang.
Hal ini sesuatu yang positif untuk Indonesia tetapi bakal memberi impak yang besar kepada Sarawak Bumi Kenyalang. Kepimpinan Premier Datuk Patinggi Abang Johari perlu memfokuskan kepada pengukuhan sempadan Sarawak-Kalimantan. Sarawak bakal bersaing dengan sebuah bakal ibu negara yang mempunyai keluasan 743,330 kilometer persegi. Keluasan ini hampir enam kali lebih besar daripada keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Oleh itu, satu saingan hebat sedang menanti di hadapan bagi memastikan Wilayah Sarawak terus kekal menjadi destinasi pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pembangunan. Bagi memastikan Sarawak terus terbela, antara perkara pokok adalah keselamatan di sempadan Sarawak dan Kalimantan.
Peruntukan pembangunan Sarawak
Rakyat Malaysia pasti maklum bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan 1bilion Ringgit bagi tujuan naik taraf infrastruktur dan pengukuhan sempadan Sarawak dan Sabah. Hal ini sangat relevan di dalam memastikan Wilayah Borneo terus terpelihara daripada ancaman keselamatan tradisional mahupun bukan tradisional.
Lebih utama dari itu, Sarawak perlu diberi perhatian yang lebih serius melalui peruntukan Bajet 2023 untuk memastikan pembangunan dan naik taraf berjalan dengan lancar. Saingan pembangunan di Wilayah Kalimantan sudah semestinya akan memberi impak yang signifikan kepada Sarawak. Walaupun pembangunan menyeluruh Kalimantan akan mengambil masa yang agak lama, namun sejarah membuktikan bahawa Indonesia boleh melaksanakannya. Hal ini dapat dilihat melalui pembangunan di pulau-pulau dan provinsi-provinsi yang lain di dalam negara Indonesia.
Melalui semangat MA63 yang telah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan maka adalah wajar Sarawak kini perlu diberikan keutamaan yang serius. Kerajaan Perpaduan perlu ‘memadamkan’ persepsi lama Sarawak sebagai ‘anak tiri’ dan digantikan dengan ‘anak kandung’. Tidak keterlaluan jika perlu menjadi ‘anak emas’ untuk memastikan Sarawak menjadi wilayah yang maju dan mampu berdepan dengan pembangunan terancang yang bakal dilaksanakan di Kalimantan nanti.
Pengukuhan sempadan Sarawak
Wilayah Sarawak dan Kalimantan secara umumnya sangat strategik kerana boleh dikatakan berada di atas satu hamparan bumi yang sama. Kedudukan geografi Sarawak-Kalimantan ini sangat unik dengan kepelbagaian flora dan fauna. Masyarakatnya pula berbilang bangsa, etnik dan agama merentasi kedua-dua wilayah tersebut. Ada masyarakat yang mempunyai pertalian keluarga yang duduk di kedua-dua daerah ini.
Keadaan ini mirip dengan kesatuan keluarga di antara penduduk di Sabah dan Mindanao. Walau bagaimanapun, dari sudut kedaulatan, ianya tetap berbeza dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berlainan di antara Malaysia dan Indonesia. Pengukuhan dan naik taraf sempadan yang akan dilakukan perlu dilaksanakan secara teratur tanpa ada persepsi untuk memisahkan pertalian saudara sebaliknya memenuhi tuntutan negara
berdaulat.
Pengukuhan sempadan ini penting kerana pembangunan Kalimantan sebagai ibu negara pasti akan mempunyai kesan terutamanya kepada pembangunan ekonomi dan kesenjangan pembangunan di dua wilayah tersebut. Hal ini perlu diperhati dan ditekuni secara serius bagi memastikan saingan yang bakal berlaku tidak meranapkan ekonomi mana-mana pihak.
Sebaiknya, kedudukan yang strategik ini digunakan untuk pembangunan kedua-duanya melalui sistem keselamatan sempadan yang lebih efektif dan efisien.
Pembangunan Sarawak amat penting dan kritikal untuk dilaksanakan tanpa berlengah lagi. Sarawak bakal berdepan dengan wilayah yang bakal menjadi ibu kota kepada sebuah negara yang mempunyai sumber yang begitu banyak dan populasi yang besar. Saingan yang bakal tiba bukanlah sebuah perahu kecil tetapi ibarat sebuah kapal besar yang boleh membelah ombak di lautan.
Akhirnya, bajet 2023 perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan Sarawak terus menjadi hab pembangunan ekonomi dan terus menarik minat pelabur tempatan mahupun antarabangsa. Infrastruktur dan infostruktur perlu dibangunkan, dikawal selia dan dimajukan sehingga menepati piawaian tahap antarabangsa agar Sarawak Bumi Kenyalang terus dipacu demi kemajuan dan kemakmuran negara Malaysia.
Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM &
Felo Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia