SEBERANG PERAI – Beli kereta terpakai untuk elak dikesan pihak berkuasa disebabkan kerap kena ditahan ketika menunggang motosikal.
Itu antara alasan warga asing yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Pewa (pemandu warga asing) di sekitar Seberang Jaya di sini, hari ini.
Lebih mengejutkan ada antara mereka menggunakan kereta jenis Toyota Vios untuk memastikan kelihatan seperti orang tempatan agar memudahkan perjalanan ke tempat kerja.
Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, pihaknya menyita empat buah kereta dan 16 motosikal dalam operasi selama empat jam bermula pukul 7 pagi.
Antara kereta disita jenis Toyota Vios, Hyundai, Proton Waja, Wira manakala motosikal pula Yamaha Y15, LC135 serta Honda Dash.
Kata beliau, sebanyak 43 saman dikeluarkan dalam operasi tersebut atas pelbagai kesalahan khususnya tiada lesen memandu.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu warga Bangladesh, Rohingya, Indonesia serta Pakistan itu juga mendapati tiada cukai jalan serta insurans dan ini mengundang bahaya kepada mereka serta pengguna jalan raya lain.
“Sebelum ini kita buat operasi hanya fokus kepada penunggang motosikal memandangkan kita dapati kebanyakan warga asing guna motosikal.
“Namun kini, kita perlu lakukan pemeriksaan ke atas kereta juga susulan mereka ini beranggapan JPJ hanya memeriksa penunggang motosikal saja,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Adenan, hasil soal siasat awal juga mendapati kebanyakan motosikal dan kereta yang diguna warga asing itu milik warga tempatan.
“Saya meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan.
“Sekiranya kesalahan itu dikesan, pemilik juga boleh dikenakan tindakan dan kenderaan mereka boleh disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, tindakan penguatkuasaan akan dibuat secara berterusan bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
Sepatutnya pihak JPJ, POLIS di Kuala Lumpur dan kawasan yg sewaktu dgn nya mengambil tindakan sama..kehadiran PEWA lebih ramai disini tapi tiada tindakan menyeluruh..nak tunggu sampai bila????
Buat ops oleh jpj di sekitar sepang ni ramai warga asing yg pandu kereta lori bermahraja lela…tangkap dan rampas jee