KUALA LUMPUR – Perkhidmatan kesihatan mental dijangka meningkatkan produktiviti subsektor penjagaan kesihatan swasta ke tahap purata produktiviti nasional dalam masa lima tahun lagi.

Inisiatif ini bakal membantu pengamal perubatan swasta (GP) untuk menceburi pasaran baru, mengembangkan perkhidmatan dan mengguna pakai sumber yang sedia ada dengan lebih efisien ke arah peningkatan produktiviti di peringkat firma.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, inisiatif ini mampu menjadi pemangkin kepada prestasi produktiviti subsektor penjagaan kesihatan swasta.

Dengan bilangan klinik yang banyak iaitu sebanyak 80,000 buah di seluruh Malaysia, GP bakal memainkan peranan yang lebih signifikan dalam melonjakkan tahap produktiviti subsektor ini”.

Pada tahun 2021, subsektor penjagaan kesihatan swasta merekodkan tahap produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja pada RM64,259 kurang daripada purata nasional iaitu pada RM90,697.

Prestasi ini telah dicatatkan selama lima tahun bermula pada 2017 dan intervensi yang lebih radikal amat diperlukan dalam usaha mengurangkan jurang prestasi antara subsektor dan purata nasional ini.

Menurutnya, kerjasama awam-swasta dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan mental telah dikenal pasti sebagai salah satu mekanisme penyelesaian bagi meningkatkan produktiviti subsektor ini.

Di samping itu, inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, mendapatkan khidmat nasihat dari segi pencegahan dan promosi kesihatan mental.

”Memenuhi keperluan sosial melalui penyampaian perkhidmatan kesihatan sering dilihat sebagai tanggungjawab utama kerajaan. Oleh itu, sektor ini dikawal selia dengan pengawasan yang agak ketat.

”Namun, disebabkan oleh kekangan dari sumber manusia dan kewangan kerajaan, kerjasama awam-swasta sangat diperlukan bagi memastikan rakyat mendapatkan intervensi dengan lebih awal bagi menangani isu kesihatan mental ini,” tambah Abdul Latif.

Dilaporkan bahawa peningkatan sebanyak 81 peratus atau 1,142 kes bunuh diri pada tahun lepas berbanding 631 kes pada tahun 2020.

Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial turut menerima 307,673 panggilan di mana 74 peratus daripadanya melibatkan perkhidmatan sokongan emosi dan kaunseling yang disebabkan oleh stress kronik, kemurungan dan serangan kerisauan.

Sementara itu, Datuk Jacob Thomas, Pengerusi Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) berkata, Malaysia boleh menanda aras bagaimana negara maju seperti Australia menangani isu kesihatan mental yang lebih menekankan kepada rawatan lebih murah dan kurang intensif.

Pendekatan ini amat menitikberatkan langkah pencegahan dan intervensi awal terhadap kesihatan mental di kalangan golongan muda”.

“GP di Malaysia boleh berkhidmat sebagai barisan hadapan untuk memberikan perkhidmatan mesra komuniti seperti informasi kesihatan, sokongan, kaunseling dan saringan bagi kesihatan mental.

”Justeru itu, pelaburan yang lebih besar dalam meningkatkan kompetensi dalam kesihatan mental perlu disokong dan dimasukkan secara formal sebagai salah satu proses akreditasi bagi tenaga kerja kesihatan primer”, tambah Jacob. – MalaysiaGazette