Penduduk Turkiye bersama-sama penyelamat mencari mangsa-mangsa yang terperangkap dalam runtuhan selepas negara ini dilanda gempa bumi kuat 7.8 pada skala Richter, semalam.

KUALA LUMPUR – Terkejut dengan bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria semalam, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan takziah kepada kerajaan negara itu dan rakyatnya.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, kejadian yang memusnahkan harta benda dan mengorbankan ribuan nyawa itu wajar menjadi iktibar kepada negara Islam lain agar sentiasa berhati-hati dan beringat.

“Putra terlalu sedih dengan musibah gempa bumi yang menimpa rakyat Turkiye dan Syria dengan korban nyawa yang begitu ramai dan kemusnahan harta awam yang di luar dugaan sama sekali.

“Putra mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dan kepada kerajaan Turkiye serta Syria. Hanya kesabaran serta doa semoga Allah permudahkan ujian yang besar dan luar biasa ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Shahrulufti, parti itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dengan segera menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) ke selatan negara itu untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau menyeru rakyat negara ini turut serta membantu dengan menyumbangkan pakaian, makanan, khemah, pemanas elektrik dan selimut memandangkan negara itu berdepan dengan musim sejuk.

“Kita harap, negara lain juga turut serta menghulurkan bantuan sama ada bekalan makanan, ubat-ubatan mahupun pasukan SAR bagi mencari ramai penduduk yang masih hilang dan cedera.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kerajaan dan rakyat Turkiye serta Syria yang ditimpa bencana tragis itu,” katanya. – MalaysiaGazette