Majlis sambutan ulang tahun DJLINFollowers bersama peminat diadakan di Restoran Rumah Makan 100 Tahun, Ujong Pasir, Melaka.

KUALA LUMPUR – Penyampai radio popular, DJ Lin menerusi kelab peminatnya, ‘DJLINFollowers’ telah menganjurkan majlis sambutan ulang tahun bersama peminat di selatan tanah air.

Majlis yang telah diadakan di Restoran Rumah Makan 100 Tahun, Ujong Pasir, Melaka itu menjadi destinasi pertama peyandang trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH itu dalam siri jelajah bertemu peminat bagi tahun 2023.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid, ia kali pertama sesi bertemu peminat diadakan di selatan tanahair dan Melaka menjadi negeri pertama dengan menyaksikan lebih 100 orang tetamu hadir rata-rata merupakan peminat setia DJ Lin.

“Saya berasa sangat terharu di atas sambutan hebat yang diberikan oleh peminat Lin di selatan ini dan lebih bermakna, ada yang sanggup datang dari Muar, Johor Bahru, Pahang, Shah Alam, Perak dan Negeri Sembilan.

“Ternyata sokongan peminat tidak berbelah bagi terhadap saya kerana bukan sahaja peminat baru, malahan ada antara yang hadir merupakan peminat saya lebih 12 tahun lalu sejak kelab peminat ‘DJLINFollowers’ mula ditubuhkan pada tahun 2010,” ujarnya.

Kelab peminat ‘DJLINFollowers’ mula ditubuhkan pada tahun 2010.

Majlis yang bertemakan tradisional itu bermula pukul 8 malam dan dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Safwan Matsani diikuti ucapan pembukaan oleh wakil restoran ‘Rumah Makan 100 tahun’.

Pelbagai aktiviti menarik yang menawarkan hadiah istimewa telah diadakan antaranya peraduan ‘Teka Tajuk Filem Klasik’ ‘Sambung Lagu Tradisional’, ‘Tiru Gaya DJ Lin’ juga pertandingan karaoke yang menyaksikan penyertaan dari peminat, rakan artis serta rakan media.

“Peminat adalah segalanya bagi saya selain keluarga. Tanpa peminat, DJ Lin bukanlah siapa siapa. Sokongan padu peminat yang tak berbelah bagi selama 23 tahun berada di dalam industri radio di Malaysia adalah tunjang kekuatan saya berdepan dengan apa juga cabaran, dugaan dan halangan yang ditempuhi.

“Saya kuat demi peminat dan saya terus bertahan juga adalah berkat doa dari peminat. Tahun 2023 sangat istimewa kerana dapat meraikan sambutan ulang tahun saya yang ke-47 bersama peminat tercinta.

“Moga semua sudi untuk terus mendoakan saya segera pulih dari apa jua sakit yang sedang dihadapi dan doakan juga agar saya dapat terus fokus mengemudi Suria FM dan impian saya pada tahun ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan baru buat Suria FM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast