KUALA LUMPUR – Google Doodle hari ini meraikan hari kelahiran ke-67 Allahyarham Kamarudin Ismail, lebih dikenali sebagai Kamn Ismail, yang merupakan seorang tokoh terkemuka dalam dunia animasi Malaysia.
Lebih khusus lagi, beliau merupakan seorang perintis dalam penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital dalam animasi pada tahun 90-an.
Kamn dilahirkan pada hari ini di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, pada tahun 1956 dan mendapat pendidikan awal di Methodist Boys’ School, Sentul, Kuala Lumpur.
Minat beliau dalam seni dan lukisan bermula sejak beliau masih bersekolah dan apabila beliau sudah dewasa, Kamn bekerja dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di UK, McMillen Film Company, untuk menghasilkan filem “Paper Tiger” yang dikeluarkan pada tahun 1975.
Beliau memainkan peranan yang penting dalam Jabatan Pengarah Seni dan mempelajari pelbagai ilmu berkaitan teknik dan produksi filem.
Memandangkan industri animasi tempatan masih belum menjadi sebuah industri yang berjaya pada masa itu, Kamn terpaksa mengetepikan minatnya terhadap seni dan mengambil pekerjaan lain, termasuk menjadi seorang kerani pentadbiran bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Selepas memegang beberapa jawatan dalam syarikat itu selama 17 tahun, beliau mengambil keputusan untuk beredar demi meneruskan minatnya dalam animasi.
Apabila komputer dan teknologi mendapat daya tarikan pada tahun 80-an, Kamn menjadi begitu berminat untuk mengembangkan penggunaan komputer untuk tujuan melukis dan cuba menghasilkan animasi kartun yang lebih canggih.
Beliau sering merujuk kepada teknik animasi Walt Disney yang menekankan kualiti – namun, pembiayaan merupakan suatu masalah dan beliau memutuskan untuk mencari cara yang lebih mudah dan pantas untuk mencipta animasinya sendiri sambil mengekalkan kualitinya.
Pada tahun 1989, dengan bantuan dan keyakinan Syarikat Mega Universal Sdn Bhd, Kamn telah ditugaskan untuk mencipta persembahan 2D dan 3D untuk pelancaran produk, bagi syarikat-syarikat swasta dan badan-badan kerajaan.
Dari tahun 1991 hingga 1997, Kamn menyertai Kharisma Pictures (M) Sdn Bhd untuk membentuk dan melatih kumpulan juruanimasi pertama untuk mencipta siri animasi pertama bertajuk ‘Usop Sontorian’.
Ia mengambil masa hampir tiga tahun dan 94 kakitangan berdedikasi untuk menghasilkan sejumlah 49 episod. Kerja keras mereka membuahkan hasil apabila siri animasi itu dikeluarkan untuk tontonan umum di TV1 RTM dan menjadi hit segera di seluruh Malaysia serta meningkatkan keyakinan bagi industri animasi tempatan pada masa itu.
Pada tahun 1996, Kamn mewakili delegasi Malaysia ke Festival Animasi Antarabangsa ke-6 yang diadakan di Hiroshima, Jepun, yang mana beliau telah diberi peluang untuk memberi kesedaran mengenai dunia animasi di Malaysia dan mempamerkan episod dari siri Usop Sontorian kepada seluruh dunia.
Kamn kemudiannya menyertai UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd. sebagai salah seorang pengarahnya pada tahun 1997. Tugas pertamanya adalah untuk menghasilkan siri animasi yang popular, justeru ‘Keluang Man’ dihasilkan pada tahun yang sama. Ia mengisahkan tentang seorang pesakit di hospital mental di Tampoi bernama Borhan, yang juga dikenali sebagai Keluang Man – seorang adiwira yang membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakan kongsinya yang dipercayai, Tiong Man.
Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerakan animasi dan gerakan kamera dengan cara yang lebih menarik adalah sebab mengapa Kamn memutuskan untuk menggabungkan kedua-dua kaedah tersebut.
Apabila krisis ekonomi melanda, ia turut menjejaskan kestabilan ekonomi syarikat yang bersamanya. Bagaimanapun, semangat kentalnya untuk menghasilkan animasi tempatan telah mendorongnya untuk menubuhkan syarikat sendiri, Quest Animations (M) Sdn. Bhd. pada tahun 2001 untuk menerbit dan mengarah siri animasinya sendiri.
Antara animasi yang pernah dihasilkannya menerusi syarikatnya sendiri adalah Che Nat, Kumang, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang, Duwi, Kiddo Science World, dan Mat Kilau.
Pada tahun 2016, Kamn memutuskan untuk bersara daripada industri animasi disebabkan oleh kebimbangan kesihatan. Projek terakhirnya bersama Quest Animations ialah Mat Kilau, sebuah siri animasi bertemakan patriotik.
Merentasi 13 episod, Mat Kilau telah memenangi beberapa anugerah dan juga telah diterjemahkan ke dalam platform media lain seperti komik, Realiti Imbuhan (atau Augmented Reality, AR), dan permainan digital.
Kamn bukanlah seseorang tanpa sebarang pengiktirafan. Pada tahun 2001, Che Nat telah dianugerahkan tempat ketiga di Festival Antarabangsa Penerbitan Televisyen Negara Islam Pertama, yang diadakan di Tehran, Iran manakala pada tahun 2003, telemovie Kumang telah dianugerahkan ‘Animasi Terbaik’ di Festival Filem Malaysia ke-16.
Di Anugerah Seri Angkasa 2005, Kumang Lagenda Sarawak telah dianugerahkan ‘Siri Animasi TV Tempatan Terbaik’ bagi tahun 2004, dan Lagenda Kinabalu memenangi anugerah yang sama bagi tahun 2005 pada edisi 2006 acara anugerah yang sama.
Beliau turut dianugerahkan Tokoh Penggiat Kartun 2012 atas pencapaian menghasilkan siri animasi Malaysia, yang disampaikan oleh Perdana Menteri ketika itu semasa program ‘Anda, PM & Kartunis’.
Pada 1 April 2018, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama Animas telah mencalonkan beliau sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam anugerah Hari Kartunis.
Bagi meningkatkan lagi industri animasi di negara ini dan mewujudkan kesedaran awam, Kamn Ismail bersama rakan-rakan animator Hassan Abd Muthalib dan Hisham Harun Hashim mengasaskan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) pada 2001, yang didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada tahun 2007.
Antara objektifnya adalah untuk mempromosikan piawaian animasi, menyokong dan menggalakkan pendidikan animasi, dan juga mewujudkan kesedaran awam mengenai animasi, keupayaan penceritaannya dan pengembangan ke media yang baru muncul.
Untuk menyumbang kembali kepada komuniti, Kamn turut menerima jawatan sebagai seorang pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan berkhidmat hingga ke akhir hayatnya.
”Pada hari lahirnya yang ke-67, kami meraikan Kamn Ismail dan sumbangan penting beliau kepada dunia animasi di Malaysia,” kata Google Doodle. – MalaysiaGazette