Zaid Ibrahim Bersatu Pas UMNO PRN Najib
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang ikat jamin yang dikenakan kepada tertuduh bagi mengelak berlaku kesesakan yang teruk dalam penjara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, jika undang-undang berkenaan diperhalusi dan dipermudahkan, usaha mengurangkan kepadatan banduan dalam penjara dapat diatasi.

Beliau memberi contoh, kepada tertuduh yang tidak dapat membayar ikat jamin kerana miskin, diberi syarat tahanan dalam rumah dan wajib hadir pada hari perbicaraan.

“Kalau golongan ini pun dimasukkan dalam penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan yang selalunya mengambil masa satu hingga dua tahun, ini akan merugikan kerajaan.

“Kerajaan rugi kerana terpaksa menanggung kos makan minum mereka setiap hari sepanjang berada dalam penjara.

“Cubalah kerajaan terutama Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said fikir dan bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan, kerana ini adalah usaha untuk mengurangkan kesesakan banduan dalam penjara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Zaid, perubahan ini juga selaras dengan usaha UMNO untuk buat reform dalam parti itu selepas proses ‘pembersihan’ minggu lalu.

Katanya, nama UMNO pun naik sesuai dengan reform yang diuar-uarkan.

“Salah satu reform kalau UMNO nak buat ialah cadangan saya ini, iaitu kaji undang-undang ikat jamin. Beri garis panduan yang mudah dan tidak menekan orang miskin.

“Atau pun, mahkamah kenakan kadar ikat jamin yang berpatutan kepada tertuduh miskin. Kalau diarah supaya mereka tinggal di rumah, pun mereka tak akan lari.

“Lagipun, ke mana sangat mereka nak lari. Mereka tahu perbuatan itu akan menyusahkan diri sendiri dan keluarga. Jadi, mereka akan hadir ke mahkamah,” ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan, kerajaan menyediakan tabung untuk tertuduh yang tidak mempunyai kewangan untuk ikat jamin.

“Kepada tertuduh yang tak ada duit nak ikat jamin, guna tabung ini, biar kerajaan jamin. Kalau tidak, penjara akan terus sesak dengan golongan ini termasuk banduan,” katanya. – MalaysiaGazette