Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Cadangan pembaharuan bagi memperkasa Parlimen Malaysia termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap Ahli Dewan Rakyat perlu disokong.

Justeru, langkah itu wajar dimulakan dengan mengenakan tindakan keras terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang mengeluarkan kenyataan ‘beruk’ dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Meskipun tidak menamakan mana-mana individu namun hantaran Ahmad Fadhli di Facebook itu dipercayai merujuk kepada pemimpin Amanah tersebut.

Ia susulan kekecohan yang dicetuskan pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu apabila menggelar Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, sebagai ‘beruk’.

“Sangat bersetuju, kita mulakan dengan mengenakan tindakan sekeras-kerasnya kepada seorang ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan ‘beruk’ kepada seorang ahli dewan yang lain dalam sesi baru-baru ini,” katanya ringkas di laman sosial.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari bertekad akan melakukan pembaharuan bagi memperkasa Parlimen Malaysia.

Beliau berkata, ia termasuklah mengenakan hukuman lebih berat terhadap Ahli Dewan Rakyat yang melanggar etika supaya institusi penggubal undang-undang negara dihormati.

Katanya, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina.

Pada sidang Dewan Rakyat Disember lalu, Hashim meminta Johari mengambil tindakan terhadap Mohd Sany yang didakwa mengeluarkan perkataan biadap.

Katanya, tindakan Mohd Sany mengelar ‘Pendang beruk’ menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36(4), iaitu penggunaan sesuatu bahasa, perkataan atau ungkapan yang kurang sopan. – MalaysiaGazette