Lans Koperal Edrin Baintin

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan memperluaskan radius pencarian seorang komando tentera darat yang dikhuatiri lemas sehingga lebih 10 batu nautika termasuk menggunakan aset udara pagi ini.

Ia selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Lans Koperal Edrin Daintin, 25,  menemui jalan buntu menyebabkan ia dihentikan pukul 7.30 malam tadi.

Pengarah Agensi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, mangsa dikatakan hilang sewaktu menjalani latihan pada kedudukan 1.35 kilometer barat daya Pulau Undan yang berkedalaman 40 meter.

“Esok pagi (hari ini) kita akan semak semula keluasan pencarian yang lebih luas berbanding petang tadi (semalam) kita telah lakukan SAR sekitar 10 batu nautika persegi dari lokasi mangsa hilang.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan aset daripada agensi sahabat termasuk menggunakan helikopter dan pasukan penyelam dari ibu pejabat,” katanya ketika ditemui di pusat operasi Jeti Nelayan Pengkalan Pernu malam tadi.

Pengarah Agensi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Syakirin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian menimpa anggota komando itu pada pukul 5.31 petang.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Melaka Tengah bersama 16 anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, kehilangan mangsa juga telah dimaklumkan kepada komuniti nelayan supaya dapat membantu sekiranya mereka ada menjumpai mangsa ketika melakukan aktiviti menangkap ikan malam tadi.

Difahamkan, mangsa bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor dan ketika kejadian sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam di kawasan perairan Pulau Undan.

Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka.

Operasi SAR turut melibatkan kekuatan 34 anggota dan lima pegawai dari Kem PULPAK. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota komando dikhuatiri lemas di Pulau Undan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast