KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi sasaran fitnah.
Terbaharu sebuah laman Facebook mendakwa Rosmah sedang sakit dan dirawat di hospital.
Perkara tersebut disedari oleh seorang pengguna media sosial tersebut iaitu Hasnah Abdul Rahman.
Menurut Hasnah beliau sendiri bertemu Rosmah di mahkamah ketika menghadiri perbicaraan terhadap Najib semalam dan bertanya mengenai gambar yang dikongsi oleh laman Facebook terbabit.
“Saya tanya Datin Seri (apabila diberitahu pasal posting merepek ni) Datin tak sihat ke?
“Jawapan beliau, eh taklah. Alhamdulillah dalam umur yang sedang meningkat ini Allah beri kekuatan dan kesihatan kepada saya untuk menghadapi segala liku liku hidup.
“Dan supaya saya boleh beri kekuatan kepada suami pada masa yang beliau sangat memerlukan ini,” kata Hasnah.
Beliau menjelaskan gambar yang dipaparkan dalam laman Suara Rakyat adalah foto yang diambil tiga tahun lalu.
Gambar tersebut memaparkan Rosmah sedang terbaring sambil diperhatikan oleh Najib.
Pada gambar berkenaan tertulis kapsyen, “Allahuakbar. Sama-sama kita doakan Rosmah Mansur semoga sembuh cepat – Netizan”.
Kata Hasnah semalam merupakan ulang tahun ke-36 perkahwinan Najib dan Rosmah.
Kedua-dua mereka amat mesra walaupun Najib sentiasa diiringi oleh pegawai penjara.
“Kekadang saya tak tahu apa dalam minda setengah-setengah manusia yang tak habis-habis tabur fitnah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor. Orang tu tengah sihat, hari-hari ke mahkamah Jalan Duta untuk menemani suami beliau Datuk Seri Najib Razak.
“Hari ini lagilah mereka menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-36 walaupun dengan keadaan Bossku di kelilingi warden-warden dari Penjara Kajang.
“Di depan mata saya, mereka berdua sungguh mesra, berseloroh antara mereka dengan kehadiran anak mereka Yana Najib dan kawan-kawan beliau termasuk Dr. Masliha Harun,” kata Hasnah.