Warga asing guna kad pengenalan palsu beli motosikal didakwa di Mahkamah Temerloh hari ini.

KUANTAN – Seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh dekat sini hari ini kerana disyaki terlibat dalam kesalahan membabitkan penggunaan kad pengenalan palsu.

Tertuduh pertama, Herman Yusof, 30, didakwa dengan dua pertuduhan atas kesalahan yang dilakukan di sebuah premis menjual motosikal di Pusat Perniagaan Chengal, Temerloh pada 23 Ogos tahun lepas.

Suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki warga Indonesia itu didakwa menipu dengan menyamar sebagai Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian motosikal jenis Yamaha Y16ZR.

Justeru suspek didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen, kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli yang diketahuinya adalah dokumen palsu dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama dua penjamin warga tempatan selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap hari Isnin pertama setiap bulan.

Dalam pada itu, tertuduh kedua, Hermawati Arif, 29 pula didakwa bersubahat membantu Herman mendapatkan dan memiliki kad pengenalan Malaysia palsu atas nama Faisal Hanif Rusli antara bulan Januari sehingga Disember 2017 di sebuah kilang kayu getah di Mentakab.

Hermawati juga membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret yang sama.

Bagi kesalahan bersubahat tersebut, suspek dituduh di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Majistret membenarkan wang jaminan sebanyak RM4,000 berserta seorang penjamin pencagar dan menetapkan 22 Mac depan bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette