NEW YORK – Disney akan memotong 7,000 pekerja dalam perubahan besar syarikat hiburan itu.
Pemberhentian itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menjimatkan kos sebanyak AS$5.5 bilion dan menjadikan perkhidmatan penstriman Disney+ menguntungkan selepas melaporkan penyusutan pertama pelanggan sejak ia melancarkan perkhidmatan itu pada 2019.
Ketua Eksekutif Disney, Bob Iger menyifatkan keputusan yang dibuatnya bukan mudah.
“Saya amat menghormati dan menghargai bakat dan dedikasi pekerja kami di seluruh dunia, dan saya mengambil berat tentang kesan peribadi daripada perubahan ini,” katanya.
Namun, menurut beliau, perubahan itu akan meletakkan Disney pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi gangguan masa depan dan cabaran ekonomi global.
Pengurangan pekerja itu melibatkan kira-kira 3.6% daripada tenaga kerja Disney di seluruh dunia.
Sementara itu, Disney melaporkan kenaikan 8% dalam jualan kepada AS$23.5 bilion antara Oktober dan Disember tahun lepas.
Keuntungan juga meningkat ebanyak 11% kepada AS$1.3 bilion.
Bagaimanapun, Disney+ melaporkan kerugian AS$1.5 bilion dan pelanggannya jatuh sekitar 2.4 juta kepada 161.8 juta.
Pelan itu akan menyaksikan penstrukturan semula syarikat kepada tiga segmen iaitu hiburan yang akan merangkumi filem, TV dan penstriman; taman, pengalaman dan produk ESPN dan Disney yang berfokuskan sukan.
“Penyusunan semula ini akan menghasilkan pendekatan yang lebih kos efektif, diselaraskan kepada operasi kami,” kata Iger. – Agensi