KAJANG – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan supaya terus membuka peluang kepada golongan bekas banduan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.
Naib Pengerusinya, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, mengambil kira konsep Malaysia Madani, cara itu sebenarnya boleh membantu golongan tersebut kembali kepangkuan masyarakat.
Katanya, madani yang boleh dirujuk sebagai memaafkan dan memberi peluang, mampu melontarkan “stigma” negatif komuniti terhadap bekas banduan.
“Sekarang ni kalau isunya susah nak mendapat pekerja asing disebabkan terlalu banyak peraturan ini adalah cara yang terbaik.
“Kita tahu penjara ada mengeluarkan juga barang-barang industri seperti makanan (yang dibuat oleh banduan di dalam penjara), ambil sahajalah mereka bekerja dalam industri.
“Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada banduan sekali gus mereka dapat kembali kepangkuan keluarga masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Program Youturn Day: Welcoming Prisoner Back To Society di Penjara Kajang di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan Nor Aziah berkata, bekas banduan banyak menghadapi cabaran untuk mengintegrasikan diri mereka semula ke dalam masyarakat.
Katanya, mereka sering dipinggirkan dan dipandang rendah dalam komuniti hingga golongan tersebut terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti tiada tempat tinggal, tidak dibenarkan bekerja dan tidak diterima oleh keluarga.
Ujarnya, golongan itu seolah-olah terus dihukum oleh masyarakat meskipun telah menjalani hukuman atas kesalahan lampau.
“Bagi sesetengah bekas banduan, perkara ini menyukarkan hidup mereka dan akhirnya memilih untuk mengulangi semula kesalahan jenayahnya semata-mata untuk terus hidup di luar kesempitan.
“Perkara ini akhirnya akan menjadi lebih parah apabila menjadi punca bekas banduan tidak lagi insaf dari melakukan kesalahan jenayah.
“Justeru, pihak kerajaan, keluarga, masyarakat dan penggerak industri mempunyai peranan dalam proses pengintegrasian semula bekas banduan dalam komuniti agar banduan tidak terlibat dalam aktiviti jenayah semula dan dapat memulakan kehidupan yang baru,” katanya.
Untuk rekod, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan beberapa program untuk banduan kembali ke dalam komuniti.
Program-program berkenaan adalah program Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
Ketiga-tiga program pemulihan pesalah dan banduan di dalam komuniti yang dilaksanakan itu dilihat mendatangkan kesan positif terutama dalam membina masa hadapan mereka yang lebih baik.
Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abd Rahman ketika berucap pada majlis sama berkata, anjakan persepsi boleh mengubah stigma masyarakat untuk menerima dan memberi peluang kepada bekas banduan kembali semula ke dalam Komuniti.
Jelasnya, sistem penjara Malaysia telah beralih daripada hanya melaksanakan hukuman kepada tempat pemulihan dan pembinaan semula insan.
“Jabatan Penjara Malaysia amat beruntung dapat bekerjasama dengan kesemua pemegang-pemegang taruh dan rakan kongsi sepanjang proses ini.
“…dan kami amat mengalu-alukan sokongan Projek YouTurn bagi salah satu inisiatif untuk mencapai misi Jabatan,” katanya. – MalaysiaGazette
Suhakam pun kalu ade kosong boleh tawarkan juga kat depa juga ye.. baru sama kota apa yg dikata.