Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 FEBRUARI 2023.

KUALA SELANGOR – Sekretariat Kerajaan Perpaduan  yang bermesyuarat Selasa lalu hanya melibatkan parti yang mengasaskan kerajaan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti-parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan dilibatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan.

“Sebenarnya mesyuarat itu adalah mesyurat dalam kalangan parti-parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan.

“Yang lain akan dibawa dalam jawatankuasa kerana mereka ini menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilaporkan terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn pada Selasa.

Setiausaha Agung parti itu, Amir Abd Hadi berkata, pihaknya tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel.

Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyurat pertama kali telah bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa.

Jawatankuasa berkenaan adalah, Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Agenda Kerajaan dan Politik. – MalaysiaGazette