PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang untuk menubuhkan akaun amanah Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF) bagi membantu membiaya proses pembangunan lapangan terbang.
ADF akan dibiayai sebahagiannya oleh cukai lapangan terbang iaitu caj perkhidmatan penumpang atau PSC yang dibayar oleh penumpang yang berlepas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sumbangan yang diterima itu tidak akan melibatkan sumbangan daripada dana kerajaan.
Itu adalah salah satu syarat dalam perjanjian operasi (OA) 2023 antara kerajaan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai konsesi untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangun 39 buah lapangan terbang dan padang terbang (Short Take-Off and Landing Airports-STOLports) dalam negara sehingga tahun 2069.
Menurut beliau, 50 peratus daripada komponen PSC yang diambil kira dalam pengiraan yuran pengguna MAHB bayar kepada kerajaan untuk mengendalikan lapangan terbang akan disalurkan ke dalam ADF akaun amanah.
“Peratusan PSC atau peratusan daripada lain-lain komponen dalam pembayaran pengguna untuk disumbangkan ke dalam akaun ADF akan dikaji semula setiap tiga tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
OA itu telah dipersetujui dengan terma material oleh Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 2 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kerajaan dan MAHB mempunyai fleksibiliti dalam kaedah pembiayaan kos pembangunan lapangan terbang sama ada menggunakan peruntukan kerajaan melalui perbelanjaan pembangunan atau MAHB melalui mana-mana mekanisme model pemulihan pelaburan yang bersesuaian.
Jelasnya, ia tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak dengan kadar kos purata wajaran modal ditentukan apabila projek terlibat akan dilaksanakan dan tertakluk kepada persetujuan kerajaan.
“Kerajaan juga berhak untuk menstruktur semula industri lapangan terbang melalui kaedah clustering, memisahkan ekuiti perniagaan daripada syarikat induk, pelupusan lapangan terbang, menutup lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula mana-mana pemilikan fasiliti tertakluk kepada persetujuan bersama MAHB,” katanya lagi.
Cadangan lain yang dikemukakan MAHB dalam OA sama termasuk penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan klia2 kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.
Menurut Anthony, ia dibuat bagi tujuan mencapai nilai yang lebih tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut dengan lebih berkesan antara lapangan-lapangan terbang antarabangsa serantau.
Bagaimanapun, jelas beliau, penjenamaan semula itu tidak akan dilaksanakan serta-merta kerana ia bakal dimuktamadkan dan ditandatangani selewat-lewatnya sebelum akhir suku pertama tahun ini.
Sementara itu, apabila ditanya sama ada OA 2023 dapat mengurangkan harga tiket penerbangan ketika musim penerbangan, Anthony berkata, perjanjian baharu itu memberikan fleksibiliti kepada MAHB dalam membangunkan lapangan terbang menjadi lebih kompetitif dan efektif.
“Kita mahukan lapangan terbang yang lebih dinamik dengan adanya kerangka OA baharu ini MAHB mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk membangunkan lapangan terbang.
“Jadi apabila lebih kompetitif maka kita harap syarikat penerbangan dapat beroperasi dengan lebih efisien seperti mengurangkan kos operasi mereka. Apabila kos operasi diturunkan sudah tentu mereka boleh tawarkan harga tiket penerbangan yang lebih kompetitif,” katanya. – MalaysiaGazette