Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 FEBRUARI 2023.

KUALA SELANGOR – Kerajaan sedang mencari langkah lain bagi membantu  mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengambil kira kelangsungan  hidup rakyat selepas bersara, terutama dalam kalangan yang mereka yang masih tidak mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi.

“Kita sudah jelaskan banyak telah dikeluarkan jadi yang simpanan tinggal RM10,000, RM5,000 kita kena fikir apa pilihan kita? Nak keluar semua? Pencen lagi empat tahun apa nak jadi?

“Jadi liputan ini mesti adil, kalau ikut wang rakyat biarkan rakyat keluarkan tapi kalau tinggal RM5,000 keluarkan RM3,000 pencen lagi lima tahun anak beranak macam mana?

“Betul (ramai minta keluarkan KWSP untuk kelangsungan hidup). Kalau wang dia sudah tidak ada bagaimana? Kita kena pertimbang, kita sedang cari jalan kurangkan beban rakyat tanpa menimbulkan beban semasa bersara nanti,” katanya ketika hadir di Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam dalam hantaran di Facebook, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata,  beliau telah  menyuarakan kepada Anwar mengenai gesaan pihak yang menginginkan pengeluaran bersasar KWSP.

Katanya, hasrat berkenaan disampaikan kepada Anwar ketika mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, di Menara Dato’ Onn, baru-baru ini.

Sementara itu, Anwar berkata, pembentangan Bajet 2023 tidak lama lagi bakal menumpukan usaha untuk mengurangkan defisit negara, isu keselamatan makanan, kos sara hidup rakyat dan pendigitalan.- MalaysiaGazette