Pengarah syarikat direman 5 hari terima suapan kegiatan pengubahan wang haram Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengarah syarikat yang disyaki menerima upah daripada seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi menjalankan kegiatan pengubahan wang haram direman lima hari sehingga Isnin depan.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek dipercayai menerima menerima habuan dianggarkan lebih RM100,000 sekitar tahun 2016 hingga 2017 sebagai bayaran bagi membawa wang dari luar negara hasil penipuan pelaburan menerusi beberapa agensi pengurup wang.

Wang yang dibawa menerusi pengurup wang berkenaan kemudian disuntik ke dalam akaun sebuah syarikat milik individu berprofil tinggi.

SPRM berkata, permohonan reman diluluskan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek ditahan pukul 4.45 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan.-MalaysiaGazette