KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa agar semua parti-parti politik disiasat dengan adil sekiranya mahu budaya politik wang dihapuskan.
“Jika kita mahu melihat politik wang dihapuskan dan itulah matlamat kita, semua parti perlu disiasat dengan adil,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.
Terdahulu, Wan Saiful membayangkan wujud dakwaan terpilih berhubung pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoalkan, sekiranya siasatan berkenaan adil, mengapa parti-parti lain yang mempunyai rekod ‘kurang bersih’ tidak disiasat.
“Jika kita mahu melihat politik wang dihapuskan dan itulah matlamat kita, semua parti perlu disiasat dengan adil. Jadi apa yang berlaku sekarang seolah-olah ada penyiasatan terpilih kepada Bersatu. Yang masuk bertanding berbelas-belas parti, siasatlah semuanya.
“Agak lucu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tiada campur tangan politik daripada kerajaan,” katanya dalam hantaran terdahulu di laman sosial tersebut.
Menurut Wan Saiful, beberapa laporan telah difailkan oleh pihak kepada SPRM agar siasatan sama dapat dijalankan terhadap parti-parti kerajaan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai siasatan SPRM terhadap akaun Bersatu, Wan Saiful berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada badan penguat kuasa undang-undang berkenaan.
Sehingga kini, katanya, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin parti dan pegawai parti.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya.
Menurut Azam, akaun parti itu dibekukan bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – MalaysiaGazette
Siasat juga syarikat2 yang menyogok kesemua parti2 yang ada tanpa memilih bulu. Siapa yang taja orang2 tertentu makan besar, meraikan orang2 tertentu, naik helikopter, kapalterbang dsb. Itu pun kalau nak berlaku adil?
Report je la kpd pihak berkenaan.. setakat serkap jarang dlm ni tak memberi apa2 makna. Lemah!