Bibi Norishah Golbal Shah dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah kedai dan curi wang tabung kutipan sekolah tahfiz dan Palestin bulan lalu.

MELAKA – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah kedai dan curi wang tabung kutipan sekolah tahfiz dan Palestin bulan lalu.

Hakim Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Bibi Norishah Golbal Shah,50, yang membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah masuk restoran milik lelaki Indonesia, Evantana Surya Khastunggal, 25, dan mencuri wang syiling dan dua kamera litar tertutup (CCTV) bernilai kira-kira RM200.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Surya Anugerah, Lot C 35, Medan Selera Melaka Sentral, Terminal Melaka Sentral di sini pada 23 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa (pengadu) bergegas ke kedainya selepas dihubungi orang awam pukul 10 pagi hari kejadian dan mendapati tabung tahfiz dan Palestin yang mengandungi sejumlah wang dipecahkan.

Pengadu turut mendapati wang syiling kira-kira RM80 hilang dan hasil pemeriksaan CCTV mendapati seorang wanita memecah masuk kedainya pada pukul 12.38 tengah malam melalui pintu belakang kedai.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah memecah masuk Kedai Ayam Penyet Bu Sunarti di Pusat Niaga Bukit Palah, Seksyen 3, Bukit Baru di sini sebelum mencuri wang tunai serta syiling bernilai kira-kira RM1,700 milik warga Indonesia, Sunarti.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara sehingga 14 tahun jika disabitkan dan bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan kali kedua atau kemudiannya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu supaya tertuduh diberikan hukuman penjara ringan dan berjalan serentak bagi semua pertuduhan kerana tertuduh sudah insaf dan menyesali perbuatannya.

Pengawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob bagaimanapun memohon hukuman penjara berbentuk pengajaran kerana tertuduh melakukan kesalahan berulang.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan penjara bagi setiap pertuduhan pecah kedai dan mencuri.

Hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 3 Februari lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast