(gambar fail)

IPOH – Seramai 28 penduduk daripada enam keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan risiko bencana tanah runtuh di Taman Chenderong Jaya, Batu Gajah tengah malam tadi.

Jurucakap Sekreteriat Pengurusan Bencana Daerah berkata PPS itu dibuka di Dewan Serbaguna Tanjung Tualang pada 10.40 malam tadi selepas menerima aduan daripada penduduk.

“Penduduk memaklumkan terdengar bunyi seperti pergerakan tanah dan pelbagai agensi keselamatan telah ke lokasi bagi pemantauan.

“Kejadian berlaku selepas hujan lebat dan tindakan susulan sedang dilaksanakan pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya pelbagai agensi keselamatan sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan tiada mangsa cedera mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.- BERNAMA