Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan  Johor berhak untuk mengeluarkan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurut beliau, langkah mengeluarkan sebarang fatwa di bawah kuasa kerajaan negeri berpandukan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.

“Pemerintah yang berkuasa untuk mengeluarkan sesuatu fatwa telah mengeluarkan satu fatwa tersebut jadi untuk mengelak perbalahan dan sebagainya, kita patuh dan ikut kepada mereka-mereka yang berautoriti dalam kerajaan tersebut.

“Dalam konteks perpaduan ini dan memandangkan fatwa itu diletakkan kepada orang Islam dia tidak melibatkan orang bukan Islam jadi dalam konteks hormat menghormati dan bagi membina perpaduan kesatuan.

“Saya rasa orang bukan Islam juga tidak perlu khuatir dengan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan tersebut,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelepasan Program MAIWP Insani:Misi Bantuan Kepada Mangsa Banjir Johor di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam misi bantuan tersebut, sejumlah RM1 juta disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor selain 600 unit sumbangan barangan keperluan dan peralatan pembersihan berjumlah RM250,000 turut disalurkan dalam acara tersebut.

Mohd Na’im berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung langkah Johor yang akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat, bagi membolehkan umat Islam di Johor mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, fatwa yang diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) minggu depan bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.

Jelas Mohd Na’im lagi, kerajaan negeri mempunyai kuasa sama ada untuk membenarkan atau tidak umat Islam di negeri itu untuk menghadiri sebarang ritual agama lain.

“Persoalan hukum sama ada boleh atau tidak boleh, diletakkan di bawah kuasa dan autoriti negeri tersebut. Memandangkan fatwa negeri telah dikeluarkan di Johor maka sudah tentu atas dasar kita menghormati kepakaran yang ada maka kita ikut.

“Saya ingat bila mana satu fatwa telah dikeluarkan dan sebagai orang Islam kita patuh kepada fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, fatwa MAINJ sama sekali tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum dan agama seperti yang diterap menerusi konsep Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, fatwa itu hanya melarang orang Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka (orang Islam).

“Orang Islam masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain. Penganut agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam.

“Ia adalah saling-menghormati. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama penganut lain dalam memastikan kita sentiasa berbaik-baik,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Untuk rekod, selepas fatwa berkenaan diwartakan, individu yang melanggar garis panduan berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – MalaysiaGazette