KUALA LUMPUR – Keluasan lebih 80 peratus tanah rizab Melayu di Kelantan membuktikan kerajaan negeri yang diterajui Pas tetap istiqamah mempertahankan hak orang Melayu.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohamad Kamal Mohamed berkata, sebagai perbandingan, kebanyakan negeri lain mempunyai kurang daripada 50 peratus tanah rizab Melayu.
“Ketegasan dan kesungguhan Kelantan menjaga hak mutlak orang Melayu ini mesti dipertahan. Jangan sampai orang Melayu tidak mempunyai tanah di tanah air sendiri!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kegiatan pengambilan tanah di Kelantan sama ada melalui penjualan atau penggadaian tanah petani tidak banyak melibatkan golongan pemodal dan pedagang bukan Melayu.
Malah Mohamad Kamal memberitahu, jika dibandingkan dari sudut penguatkuasaan, pelaksanaan Enakmen Tanah Kelantan 1938 adalah lebih berkesan berbanding negeri lain di mana mengikut enakmen tersebut hanya anak Kelantan sahaja boleh memiliki tanah dan rumah di Kelantan.
Menurut beliau, enakmen tersebut sehingga kini berjaya mengekalkan sebahagian besar hak dan milikan tanah bagi anak watan Kelantan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9.
“Kerajaan negeri melalui pemimpin Pas yang memainkan peranan besar dalam melindungi dan mempertahankan tanah rizab Melayu,” jelasnya.
Mohamad Kamal berkata, tahun lalu, bagi meringankan beban dan membantu rakyat memiliki tanah, kerajaan negeri Kelantan telah menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi bayaran premium tanah kepada rakyat yang tidak berkemampuan.
Menurut beliau, isu tanah rizab Melayu bukan kecil kerana ia membabitkan hak dan maruah orang Melayu serta secara jelas termaktub dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette