Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama delegasi Pengurusan Tertinggi Kementerian telah mengadakan satu lawatan kerja ke Desa ParkCity, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pengurusan dan perancangan bandar berdaya huni perlu dilengkapi dengan penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang holistik.

Ia perlu mementingkan aspek kemudahsampaian, kesalinghubungan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, kementerian melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) komited untuk terus memperkukuhkan perundangan dan polisi perancangan bandar.

Beliau turut menekankan tentang keperluan penggembelengan tenaga dan usahasama yang berterusan dengan pelbagai pihak termasuk pakar tempatan bagi memantapkan lagi kualiti perancangan pembangunan bandar.

“Ia turut menjadi platform perkongsian pengalaman serta perbincangan dasar-dasar perancangan pembangunan negara.

“Di samping itu, ia juga diharap dapat memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik dan sebagai asas dalam penyediaan panduan pelaksanaan perundangan, dasar, polisi dan garis panduan perancangan pembangunan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Desa ParkCity bagi perkongsian mengenai amalan terbaik perancangan pembangunan bandar di sini semalam.

Menurut Kor Ming, selain daripada perkongsian kepakaran perumahan luar negara seperti Housing & Development Board (HDB), pihaknya juga bersedia menerima pandangan dan perkongsian ilmu daripada pakar-pakar perumahan dalam negara seperti Desa ParkCity yang telah memenangi lebih 30 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Justeru, KPKT sentiasa bersedia mencari ruang dan peluang dengan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara demi manfaat kepada rakyat, katanya.

Pengukuhan perundangan dan polisi perancangan bandar adalah seiring dengan peranan KPKT melalui tujuh agenda utama yang perlu digerakkan secara berkesan.

Beliau juga akan memastikan lebih banyak sesi libat urus dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak bagi mendukung hasrat KPKT dalam membuat perancangan secara lebih menyeluruh, berfokus dan memberi manfaat kepada rakyat.

“KPKT akan terus proaktif dan responsif terhadap keperluan serta kebajikan rakyat. Para pemaju juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan perbandaran yang mesra komuniti khususnya bagi penyediaan perumahan mampu milik di lokasi yang strategik,” katanya.- MalaysiaGazette