Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan deretan kedai di Taman Malinja, Kampung Gajah, Ipoh awal pagi tadi.

IPOH – Sebahagian daripada deretan enam unit kedai di Jalan Ulu Dedap, Taman Malinja, Kampung Gajah musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata petugas bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, BBP Teluk Intan, Tapah, serta Pasukan Bomba Sukarela dari Teluk Intan, Ayer Tawar dan Pantai Remis bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.55 malam.

Beliau berkata, kebakaran deretan kedai jenis kelas B itu menyebabkan beberapa unit kedai runcit dan sebuah kedai perkakasan musnah 60 hingga 90 peratus manakala sebuah lagi kedai perabot terbakar 10 peratus.

Operasi pemadaman yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rahman Peie tamat pada pukul 3.27 pagi.

“Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan pagi ini. – BERNAMA