Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA — Prestasi ekonomi negara masih di tahap membimbangkan dan kerajaan masih belum menangani masalah kos sara hidup rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga masih belum mempunyai solusi dan rancangan membabitkan perkara itu.

“Ekonomi negara masih dalam tahap membimbangkan, belum di”tackle” (ditangani) pun.

“Tiada rancangan macam mana nak kurangkan cost of living (kos sara hidup) selain daripada berkata kalau ayam mahal jangan makan ayam. Itu bukan solusi,” katanya pada sidang media selepas Forum Usahawan Bumiputera di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, amalan rasuah yang masih berleluasa antara sebab utama kos sara hidup damam negara semakin meningkat.

Jelas beliau, dengan elemen rasuah diterapkan dalam urusan jual beli, ia juga menyebabkan harga barang yang sebenarnya murah menjadi semakin mahal.

“Perkara yang utama adalah rasuah. Cost of living naik kerana rasuah. Banyak benda-benda yang harganya murah tetapi bila dicampurkan dengan rasuah harganya meningkat,” katanya pada sidang media selepas Forum Usahawan Bumiputera di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Namun beliau menjangkakan, Malaysia mampu mengharungi kelembapan ekonomi dunia tahun ini kerana eksport yang kukuh.

Ini kerana menurut Mahathir, terdapat barangan tempatan mendapat permintaan tinggi di luar negara seperti industri sarung tangan dan komponen pembuatan.

“Kita terselamat kerana ada barangan kita yang permintaannya begitu tinggi. Dari segi export memang kita berjaya tetapi keadaan cost of living dalam negara yang begitu tinggi tidak menunjukkan bahawa ekonomi kita sudah pulih.

“Secara dasarnya, ya. Tetapi bagi orang tertentu yang miskin dan masih tidak mendapat makanan mencukupi, mereka tidak boleh terima kononnya ekonomi kita baik dan tumbuh dengan pesat,” katanya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.