KUANTAN – Seorang penjual durian dan menantu panik apabila seekor gajah liar menyerang kereta dinaiki mereka dan kemudian memakan durian dalam kejadian di Kampung Orang Asli Kampung Simoi lama, Cameron Highlands pada jam 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua beranak itu diserang gajah berkenaan ketika dalam perjalanan pulang selepas menjual durian.
Menurutnya gajah liar itu bertindak merosakkan kenderaan jenis perodua Kembara milik mangsa, Kamal Mihad, 42, yang dinaiki bersama menantu, Bah Sara Rosli, 22 tahun.
Kedua-dua mangsa menyelamatkan diri dengan melarikan diri kira-kira 200 meter dari kejadian dengan menyorok ke dalam semak selama dua jam dari gajah itu.
“Mangsa dan menantu dalam perjalanan pulang berniaga. Apabila sampai di jalan balak Kg Simoi Lama, mangsa ternampak seekor gajah berada di hadapan, menyebabkan mangsa bergegas turun dari kereta dan melarikan diri dari arah belakang lebih kurang jarak 200 meter.
“Mangsa telah melihat gajah tersebut memecahkan cermin pintu belakang kenderaan untuk mengambil durian dan gajah telah memakan durian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, selepas dua jam kemudian, gajah tersebut beredar dari kereta dan masuk ke dalam semak.
Azli berkata, mangsa mengambil peluang bergerak perlahan-lahan menuju ke kereta dan menolak kereta ke arah belakang dan berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta melalui Jalan Betau pada jam12 malam.
“Syukur mangsa dan menantu tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala kereta mangsa mengalami kerosakan cermin pintu belakang pecah dan kemek.
“Sehingga kini gajah tersebut masih berkeliaran dikawasan itu,” katanya. – MalaysiaGazette