Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar (empat kanan) serta yang lain menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkongsi khabar gembira apabila seramai 141,144 suri rumah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak diperkenalkan mulai 1 Disember lalu.

Menurut Menterinya, V Sivakumar, seramai 135,281 orang adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan skim i-Suri  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana caruman SKSSR mereka ditaja kerajaan selama setahun di bawah peruntukan Bajet 2022.

“Kita sedang kerjasama pelbagai pihak akan terus melaksanakan aktiviti libat urus, program kesedaran, promosi dan sebagainya bagi memastikan rakyat Malaysia memahami tentang SKSSR dan perlindungan yang disediakan.

“Dengan adanya sokongan padu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelancaran rasmi SKSSR hari ini, saya percaya kementerian dan Perkeso dapat mencapai sasaran 500,000 pencarum SKSSR bagi tahun ini,” katanya. 

Sivakumar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang disempurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pagi ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berucap pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan oleh Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Malaysia adalah negara pertama di rantau ini dan keempat di dunia yang memperkenal sistem perlindungan sosial kepada suri rumah. 

SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2022 ( Akta 838) menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik dan keilatan kepada suri rumah sewaktu menjalankan urusan rumah tangga. 

Dalam pada itu, pada majlis sama, Sivakumar menambah, lebih 33 peratus pencari kerja yang berdaftar dengan portal pekerjaan MyFutureJobs anjuran PERKESO sudah mendapat pekerjaan dipohon setakat ini.

Jelasnya, statistik Perkeso menunjukkan seramai 294,044 daripada 879,601 pencari kerja yang berdaftar dengan portal berkenaan telah ditempatkan dalam pekerjaan baharu setakat 31 Disember tahun lalu.

“Perkembangan ini juga selaras dengan pengukuhan pasaran buruh tempatan yang terus menjana peluang pekerjaan berkualiti untuk bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Perkhidmatan pekerjaan dan pelbagai Program Pasaran Buruh Aktif yang dilaksanakan Perkeso menerusi portal pekerjaan MYFutureJobs akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan pasaran buruh negara dan membantu rakyat memperoleh pekerjaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu KSM melalui Perkeso juga menyediakan perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan menerusi gantian pendapatan dan carian pekerjaan baharu. 

Ini jelasnya bagi memperkukuhkan pasaran buruh untuk menjana peluang pekerjaan yang berkualiti untuk bakat-bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 

“Oleh itu, perkhidmatan pekerjaan dan pelbagai Program Pasaran Buruh Aktif yang dilaksanakan Perkeso menerusi Portal Pekerjaan MYFutureJobs terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pasaran buruh negara dan membantu rakyat memperoleh pekerjaan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast