Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas Business Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA — Berbeza aliran perjuangan punca Tun Mahathir Mohamad dan 12 pemimpin Gerakan Tanah Air (GTA) bertindak keluar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pengerusi Penaja GTA itu turut mengesahkan Pejuang yang tidak lagi mahu bersama beliau dan GTA.

“Pejuang tolak GTA, saya juga dalam GTA jadi dia tolak saya juga lah. Saya kena pilihlah nak kena ada dalam Pejuang atau GTA, saya pilih untuk ada dalam GTA.

“Saya ada dalam GTA dari dulu, pun ada dalam Pejuang tapi (Pejuang) nampak aliran dia lain sikit sebab itu saya letak jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di e-Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah seterusnya selepas ini, Mahathir berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk memperkukuh GTA.

Katanya, gerakan itu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk dari kalangan pemimpin UMNO yang dipecat sebelum ini.

“Kita nak terima siapa sahaja yang bersih yang akan berjuang untuk bangsa, negara dan, agama.

“Gabungan lain, kalau mereka mempunyai tujuan yang sama kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Hari ini MalaysiaGazette melaporkan Mahathir bertindak keluar Pejuang kerana cukup kecewa dengan kepimpinan parti itu yang bertegas untuk terus menolak Gerakan Tanah Air (GTA).

Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Armin Baniaz Pahamin berkata, Mahathir sangat sedih apabila Pejuang masih mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sedangkan idea itu tidak selari dengan matlamat dan perjuangannya yang mahu membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan negara.

Seramai 12 kepimpinan GTA meninggalkan Pejuang iaitu bekas Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Marzuki Yahya; bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya.

Turut meninggalkan Pejuang ialah Armin Baniaz Pahamin, Afiqah Mohamad, Azman Mohd. Hashim, Datuk Nuhairi Rahmat, Mohd Jaffri Hussain, Mohamad Jani, Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal. -MalaysiaGazette

Pejuang yang tolak Dr Mahathir – Armin Baniaz

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast