sprm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik syarikat ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota  tempat duduk penerbangan melibatkan agensi umrah.

Menurut sumber, tangkapan lelaki tempatan berusia 36 tahun itu turut membawa kepada rampasan beberapa dokumen serta wang tunai berkaitan kegiatan tersebut.

“Lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk tindakan lanjut dan akan direman pagi esok,” katanya.

Siasatan masih dijalankan dan pihak syarikat memberi kerjasama baik kepada SPRM.

Beliau berkata, siasatan mendapati ada pegawai syarikat yang mengambil kesempatan di atas permintaan tinggi umrah.

“Pada masa sama, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi mengesan dokumen berkaitan dalam kegiatan tersebut untuk siasatan lanjut kami,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket agih kuota tiket penerbangan umrah terbongkar

Pada 10 Februari 2023 SPRM berjaya membongkar sindiket yang terlibat dalam kegiatan menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

Pembongkaran itu berjaya membawa kepada penahanan seramai enam individu berusia 34 hingga 55 tahun yang terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam buah syarikat.

Kesemua individu itu berjaya ditangkap dalam satu operasi khas yang dikendalikan SPRM di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah pada 9 Februari yang lalu.

Menurut SPRM, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

Bayaran itu dikatakan bertujuan bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan sejak 2018 lagi dan sehingga kini dipercayai sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.- MalaysiaGazette