GPMS

KUALA LUMPUR – Tuduhan P. Ramasamy bahawa terdapat diskriminasi kaum secara rahsia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam disifatkan berniat jahat.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Ts Ahmad Thibri Mashri berkata, daripada statistik peratusan penjawat awam secara keseluruhan, penyertamaan kaum Cina dan India, masing-masing sebanyak 5.91% dan 3.85%.

Namun peratusan mereka dalam kategori Gred 56 ke atas adalah hampir dua kali ganda daripada peratusan keseluruhan iaitu 9.42% dan 5.86%.

“Ini bermaksud, kadar/kebarangkalian kaum Cina dan India berada di peringkat tertinggi dalam sektor perkhidmatan awam adalah jauh lebih baik daripada kaum bumiputera.

“Maka, adakah fakta dan nombor ini membenarkan dakwaan diskriminasi Ramasamy?,” tanya beliau.

Jelas beliau, walaupun rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, hakikatnya pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor awam tidak membabitkan sebarang kuota.

Sebaliknya ia dibuat berasaskan merit dan kompetensi calon.

Ahmad Thibri berkata, sebenarnya perkara ini telahpun dijelaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika DAP membentuk kerajaan persekutuan kali pertama pada tahun 2019 dahulu.

Pada tahun 2022 yang lepas, sekali lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengesahkan hal yang sama apabila ditanya wakil DAP, Teresa Kok di Dewan Rakyat.

“Saya percaya dakwaan dangkal seperti ini pastinya merimaskan Perdana Menteri yang sedang cuba memanifestasikan falsafah Madani yang beliau bawakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette