Abshar.

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesak Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy meletakkan jawatan.

Gesaan itu dibuat ekoran Timbalan Pengerusi DAP negeri itu didakwa kerap mengeluarkan kenyataan bersifat publisiti murahan, prejudis serta kontroversi

Ketua Penerangan AMK negeri, Abshar Nurasyraf berkata, Ramasamy menjadi liabiliti kepada semua pihak susulan kenyataannya berhubung orang Melayu mendominasi sektor perkhidmatan awam dilihat tidak menguntungkan kerajaan.

Katanya, isu ramai pejawatan berbangsa melayu bukanlah satu isu besar sebaliknya Ramasamy cuba mencurah minyak ke api dengan tujuan hanya untuk mencari perhatian dan sokongan murahan pihak tertentu.

“Dalam usaha negara menuju ke arah sebuah negara Madani, sebagai pemimpin nombor dua di negeri Pulau Pinang beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan sebegini, malah sudah berulang kali,” katanya dalam kenyataan media.

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwa Ramasamy, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut Abshar berkata, tindakan memecat Ramasamy atau letak jawatan sewajarnya dilakukan pada ketika ini untuk memberi peluang kepada pemimpin lain lebih berkaliber menjadi orang nombor dua di negeri ini.

“Tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya dan ia harus kita semarakkan, bukan dipecahkan.

“Saya juga menyeru agar semua bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluarkan individu seperti ini,” kata Abshar. – MalaysiaGazette