Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta yang lain menggaul 'Yee Sang' pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di sekitar Dewan Masyarakat Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan perbincangan mengenai dakwaan bahawa Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk menyertai gabungan tersebut.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu tidak mahu campur tangan dengan pergolakan politik yang dihadapi parti itu.

“Setahu saya belum ada apa-apa perbincangan tentang ini, isu pergolakan mana-mana parti pun itu adalah isu dalaman parti tersebut, kita tidak masuk campur.

“Yang kita fokus bagi PH waktu ini untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai, hari ini.

Fahmi diminta mengulas mengenai laporan media berhubung dakwaan parti itu meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan mahu menyertai PH.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, gabungan tersebut akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu bagi membincangkan dakwaan itu.

“Siapa yang ingin bersama dalam hal itu (bersama PH) maka mungkin mereka perlu berbincang dengan pimpinan utama,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar parti Pejuang bersama 12 lagi ahli lain.

Menurut satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan GTA.

Pada 17 Januari lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata demikian ketika menyenaraikan lima pilihan kepada parti itu sebagai salah satu isu penting mengenai penglibatan Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di enam buah negeri.

Antaranya, kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette