Seorang kakitangan LUAS menghidu sampel air susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan Logi Rawatan Air Rantau Panjang, Bestari Jaya. Gambar: Facebook LUAS

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meningkatkan tindakan kawalan bagi mengatasi masalah pencemaran susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan muka sauk Logi Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, agensi itu memaklumkan, tindakan tersebut diambil bagi mengenal pasti punca dan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan.

Ia susulan bau minyak dikesan di kawasan berkenaan pukul 9.45 malam tadi.

“Tindakan kawalan di kawasan muka sauk keempat-empat LRA terlibat iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dipertingkatkan.

“Pengepaman air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH diaktifkan bermula pada jam 10 malam serta pintu baraj di muka sauk LRA juga diturunkan bagi meningkatkan pencairan dan membolehkan aliran pencemaran mengalir dengan segera,” katanya.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan itu diselesaikan sepenuhnya dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu sebelum itu, LUAS menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,337 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau diesel yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Berikutan itu, lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling bagi 370 kawasan, Gombak (279), Hulu Selangor (28), Klang dan Shah Alam (189), Kuala Langat (tiga), Kuala Lumpur (186) serta Kuala Selangor (280) dijangka terlibat susulan insiden tersebut,” katanya.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette