nor akmal
Nor Akmal Muhammad

KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai, Nor Akmal Muhammad menawarkan diri untuk bertanding sebagai Exco Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan sayap itu pada 11 Mac ini.

Beliau membuat keputusan itu kerana berasa terpanggil untuk tidak berpeluk tubuh ketika UMNO dalam tempoh yang sukar ketika ini.

“Ahli-ahli UMNO mestilah berpegang kepada prinsip demokrasi dalam parti dan menghormati keputusan dan tindakan yang diambil bagi memperkasakan UMNO dan meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan diri.

“UMNO mesti melalui proses rejuvenisasi bagi membuka peluang dan ruang kepada generasi muda untuk bersama-sama memacu hala tuju UMNO ke arah yang realistik dan dapat diterima oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Akmal turut menyatakan hala tuju perancangan dan strateginya melalui polisi Ikrar, Inspirasi dan Tekad (Iktikad) yang mempunyai tiga teras utama.

Menurut beliau, iktikad pertama adalah memperkukuhkan daya saing Puteri UMNO melalui pemerkasaan ekonomi digital berfokus dalam kalangan ahli akar umbi.

“Iktikad kedua, membina jaringan interaktif dalam organisasi UMNO yang berteraskan asimilasi parti, kesepaduan ahli dan komunikasi positif di semua sayap pergerakan UMNO.

“Iktikad ketiga, memperjuangkan usaha dan strategi meningkatkan peranan dan penyertaan Puteri UMNO dalam pentadbiran komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” jelasnya.

Nor Akmal memberitahu, iktikad tersebut adalah satu manifesto kepada tawarannya untuk bersama-sama dengan saf kepimpinan pusat bagi merencana strategi memperkasa parti dengan mengutamakan perpaduan, peningkatan ekonomi digital ahli, dan penyatuan kepimpinan Puteri UMNO dalam semua peringkat kepimpinan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast