Ramasamy.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy mendakwa kenyataananya menerusi hantaran di laman Facebook yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara diputar belit beberapa penerbitan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pandangan berkenaan perkhidmatan awam adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan kedudukan parti atau pemimpinnya.

Jelas beliau, kenyataannya menyentuh keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam telah bincangkan pada masa lalu atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.

“Perkara yang menggesa perubahan kepada amalan tadbir urus, tidak sama dengan ‘memecahkan monopoli orang Melayu’.

“Tetapi malangnya, ahli politik beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mentafsir semula berita terpakai di media tanpa merujuk kepada penerbitan asal sekali gus menyifatkan perkauman kepada hujah saya berkenaan reformasi dalam perkhidmatan awam.

“Inilah yang berlaku apabila kebenaran diputar-belitkan dengan konteks kutukan perkauman dan ekstremisme agama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Ramasamy berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan jurucakap G25 Noor Faridah Mohd Ariffin sebelum ini juga mencadangkan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

“Dalam kes ini, kebenaran mengenai perkhidmatan awam kelihatan tidak menyenangkan bagi mereka yang ingin mengukuhkan status quo sedia ada dalam perkhidmatan awam.

“Malah menggesa supaya tindakan terhadap saya tidak akan menyembunyikan masalah sebenarnya yang wujud berkenaan perkara ini,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Kerajaan perlu tangani penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam – Ramasamy

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwa Ramasamy, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette