Dua ekor ular sawa masing-masing seberat 32 kilogram dan 25 kilogram ditemui melingkar di atas siling rumah Som Mohamad Salleh di Chamang Baru, Bentong, Pahang

KUANTAN – Dua beranak di Chamang Baru, Bentong masih trauma mengenangkan kemungkinan menjadi mangsa dua ekor ular sawa masing-masing seberat 32 kilogram dan 25 kilogram yang melingkar di atas siling rumah mereka, semalam.

Som Mohamad Salleh, 57 mengakui masih terbayang-bayang kelibat dua ekor reptilia itu di atas siling bilik anak gadisnya, Norshahira Zakaria, 26.

“Sabtu malam dalam pukul 4 pagi memang saya ada dengar dalam siling ada bunyi bising. Tak sangka pula ular,” katanya sambil  menambah dia tidak mempedulikan bunyi tersebut dan menyambung tidur.

Som Mohamad Salleh

Bagaimanapun, Som berkata, pagi keesokannya, anaknya mengadu tentang siling di biliknya retak dan cadarnya berpasir.

“Masa tu saya berdua dengan anak. Nak dijadikan cerita, pagi tu (Ahad), masa anak saya bangun tu tengok siling ada retak sikit.

“Tapi tak nampak lagi ular tu. Lepas tu, anak saya ni dalam pukul 3 petang dia duduk dalam bilik saya. Dia tak duduk dalam bilik dia sebab dia dah mengemas, basuh cadar semua.

“Saya cakap, tak apa lah. Nanti ganti hari Isnin. Hari ini mana ada kedai buka,” kata Som.

Ketika mereka berbual, terdengar bunyi kuat siling runtuh daripada bilik anaknya.

Norshahira Zakaria

“Saya kemudian bangun selak langsir pintu, tengok siling dah berderai. Apabila saya pandang ke atas. Subhanallah, Ya Allah, Ya Tuhan. Ular besarnya.

“Tutup terus pintu, saya ajak anak saya lari keluar terus. Terus telefon minta tolong Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” jelas pesara hospital itu.

Lebih mengejutkan, ibu tunggal itu tidak menyangka sama sekali bukan seekor ular sawa yang melingkar di atas siling bilik anaknya.

Ular sawa yang melingkar di atas siling rumah dua beranai di Chamang Baru, Bentong, Pahang

“Tapi bila JPAM datang, mereka cuba nak tarik tapi susah. Bila mereka terpaksa pecahkan siling rumah saya tu, tengok ada seekor lagi. Rupanya dua ekor,” katanya.

Dia memberitahu, ketika JPAM berjaya menarik keluar salah seekor ular itu, seekor lagi berjaya melarikan diri melalui bukaan yang terdapat di atas siling rumahnya, menuju ke rumah jiran yang tidak berpenghuni, namun berjaya ditangkap.

“Ketar saya. Sebab saya bayangkan benda lain la, macam beruk. Sebab rumah sebelah ni bersemak, rumah jiran ni. Selalu juga lah malam-malam bunyi macam-macam. Tapi tak terpikir pulak ular dalam siling.

“Nasib baik tak runtuh malam semalam. Maknanya Allah tu nak lindung lagi,” kata Som.

Som Mohamad Salleh (kiri) dan anaknya, Norshahira Zakaria (kanan) menunjukkan siling rumah mereka tempat ular tersebut dijumpai

Som memberitahu, anaknya kini mengalami demam akibat terkejut dan masih trauma dengan kejadian terbabit.

Namun kedua beranak itu tetap bersyukur dilindungi Allah daripada menjadi mangsa ular terbabit.

Semalam, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Leftenan (PA) Azizah Husain berkata, seramai empat anggotanya bergegas ke lokasi kejadian dan menemui dua reptilia tersebut.

Difahamkan, kedua-dua reptilia itu adalah seberat 32 kilogram dengan panjang kira-kira hampir lima meter dan seekor lagi seberat 25 kilogram dengan panjang lebih empat meter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast