Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) meninjau situasi di Bukit Tinggi pasca banjir kilat semalam.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi tujuan menaik taraf sistem perparitan berikutan banjir kilat di Bukit Tinggi, Bentong semalam,

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut merupakan sumbangan kerajaan bagi meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir di Kampung Bukit Tinggi dengan menampung kos kerosakan yang perlu ditanggung mereka.

“Peruntukan ini diluluskan selepas saya melihat sendiri keadaan banjir yang berlaku di kampung ini pada petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan tindakan segera yang diambil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bentong dan agensi-agensi yang terlibat dalam menguruskan banjir kilat yang berlaku pada petang semalam.

“Saya berharap semoga penduduk yang terlibat dapat bersama menghadapi ujian ini,” ujarnya.

Semalam, Bukit Tinggi dan Janda Baik, Bentong yang dilanda banjir lumpur menjejaskan 15 buah premis perniagaan dan lima buah kediaman.

Banjir tersebut juga menyebabkan jalan lama Bentong ke Kuala Lumpur ditutup kepada kenderaan ringan. – MalaysiaGazette