Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan becakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Makmal Pengajian Industri: ‘DroneCubator-Makerxlab’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 FEBRUARI 2023.

BANGI – Kerajaan perpaduan mampu mengembalikan kestabilan politik yang berkocak sebelum ini, kata Setiausaha UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, kestabilan itu dipamerkan oleh sokongan 148 Ahli Parlimen kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

“Tapi tadi ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu mendapat sambutan yang baik daripada Ahli Parlimen dan juga Senator. KKita berharap ia bukan hanya disambut dengan baik tapi yang penting apa yang akan berlaku selepas ini adalah kestabilan politik dapat kita capai.

“Sudah lama kita tidak dapat 148 kerusi dan dua pertiga sejak 2004 PRU15 baru kita dapat 148 kerusi dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyebut Kerajaan Perpaduan.

“Sebelum ini pembangkang katakan bahawa ia tidak disebut oleh YDPA, tapi dalam titah tadi baginda menyebut bahawa kerajaan ini adalah kerajaan perpaduan yang baginda harapkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan makmal pengajaran industri Dronecubator-MakerXLab di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikan mengulas titah Al-Sultan Abdullah yang berharap Anwar merupakan Perdana Menteri yang terakhir sebelum baginda mengakhiri tempoh khidmat.

Menurut Ahmad, UMNO mengambil pendekatan untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga penggal Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tamat.

“Apabila kita sokong kerajaan ini sehingga akhir penggal maksudnya itu sahaja Perdana Menteri yang ada supaya wujud kestabilan dalam negara.

“Apabila stabil politik maka stabil negara dan rakyat akan bekerja lebih baik daripada apa yang berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mengingatkan calon-calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti untuk mengamalkan corak kempen yang sihat, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu mencampuri urusan yang mana saya juga terlibat dalam pertandingan. Saya juga bertanding dan biarlah jawatankuasa pemilihan UMNO yang komen mengenai perkara itu,” katanya.

Pada Ahad lalu, Ahmad menyatakan beliau bersedia bertanding pada Pemilihan UMNO akan datang namun memperincikan jawatan yang akan ditandingi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast