KUANTAN – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di pesisir Pantai Lagenda, berhampiran Universiti Malaysia Pahang di Pekan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pada jam 8.05 pagi.
“Belum pasti, masih dalam siasatan,” jawabnya ketika ditanya jika mayat tersebut merupakan lelaki yang masih belum ditemui selepas terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur baru-baru ini.
“Tidak ada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan dan kita sudah meminta bantuan unit forensik ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat terbabit kira-kira jam 9 pagi.
“Pihak polis menghubungi Pusat Gerakan Operasi Bomba Pahang bagi tujuan bantuan susulan penemuan mayat tanpa identiti itu.
“Buat masa ini siasatan lanjut dilakukan pihak polis,” katanya.
Berita lanjut menyusul… – MalaysiaGazette